Projek KL48 kediamaninovatif EcoFirst, Ambank

Kwing Hee (dua dari kanan) dan Christopher Yap (kiri) selepas majlis menandatangani Kemudahan Pembiayaan pada Jumaat.

EcoFirst Consolidated Bhd (EcoFirst) menandatangani kemudahan pembiayaan Projek KL48 bersama Ambank dengan menyasarkan penduduk bandar untuk ruang kediaman yang inovatif. Ketua Pegawai

Eksekutif EcoFirst, Datuk Tiong Kwing Hee berkata, ia adalah pembangunan bersepadu yang direka untuk penduduk kota, penaik taraf dan golongan belia profesional di Kuala Lumpur.

“Mencari kediaman yang sempurna adalah salah satu keputusan pelaburan paling penting yang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

“Ia juga sebab kami telah mereka bentuk KL48 iaitu pembangunan yang pihak mereka percaya akan dikehendaki oleh ramai pihak.

“Ini kerana lokasinya yang utama dan strategik, gaya hidup bandar yang ditawarkan serta potensi yang dipersembahkan berdasarkan kedudukan projek itu yang berdekatan dengan pusat Bandaraya Kuala Lumpur serta status pegangan bebas,” katanya ketika pelancaran perasmian Projek KL48 di sini pada Jumaat.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion, KL48 terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 1.672 hektar di Chan Sow Lin dan dijangka siap pada suku kedua 2027.

Projek tersebut menampilkan 1,700 unit pangsapuri perkhidmatan dengan susun atur antara 650 dan 850 kaki persegi terdiri daripada dua menara bangunan yang mempunyai 47 tingkat dan sembilan unit runcit berharga dari RM503,000.

Tambah Kwing Hee, ia merupakan bukti komitmen EcoFirst untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada peanggan.

Ujarnya, pihaknya yakin projek tersebut akan menarik minat dalam kalangan pembeli rumah dan menyuntik tenaga baharu dalam usaha meremajakan komuniti sekitar di Chan Sow Lin.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank, Christopher Yap, selain pembiayaan pembangunan, Perbankan Runcit AmBank juga menyediakan pembiayaan akhir untuk projek tersebut.

“AmBank sedang mengkaji untuk mengembangkan kemudahan kepada rakan kongsi perniagaan EcoFirst termasuk kontraktor dan pembekal.

“Sebagai rakan kongsi pembiayaan utama, kami berharap dapat menyediakan sokongan berterusan kepada kumpulan dalam fasa pertumbuhan yang seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kwing Hee turut berkata, kerjasama dengan AmBank mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan dan potensi pertumbuhan EcoFirst dalam ukhuwah perbankan.

“Kemudahan ini akan membantu dalam memenuhi keperluan kewangan dan membawa KL48 selangkah lebih dekat untuk menjadi pusat gaya hidup untuk bakal pembeli kediaman,” katanya.

Copyright © 2025 BCM Holdings Sdn
Bhd. All rights reserved.

Copyright © 2025 BCM Holdings Sdn Bhd. All rights reserved.